Saturday, October 17, 2009

Tanda hati mati

Islam hari ini sudah lain dari dahulu.Bukan kerana agamanya tetapi kerana penganutnya. Saban hari ada saja muslim yang sudah tergelincir atau sudah kemalangan dari segi aqidah dan akhlaknya.Muslim hari ini lebih bersifat liberal dan ambil ringan setiap hukum Allah yang telah ditetapkan.Perilaku yang tidak senonoh serta melanggar syarak sudah tidak perlu di nyatakan lagi disini kerana semua sudah maklum keadaannya. Baik kaum adam atau hawa masing-masing 'sama naik' dalam perjuangan mereka mengejar dosa dan neraka. Ini bukan kerana tiada ilmu di dada tetapi ilmu yang berguna tidak diamalkan. Lebih menyedihkan lagi asas agama yang sangat rapuh dan tidak kuat. Cuba kita bayangkan setiap hari ada saja anak-anak dara kehilangan daranya.Ada saja mak-mak dara yang bercerai di tangan suaminya, ada saja teruna-teruna yang hilang jati dirinya.Ada saja bapa-bapa dara yang mencari perempuan sebagai mangsanya serta bermacam-macam lagi kegiatan-kegiatan yang haram tetapi barangkali sudah dinggap halal dan tidak apa saja.Itu baru saja persoalan perilaku dan perbuatan mungkar, belum lagi soal menunaikan hukum Allah seperti solat dan puasa. Solat itu tiang agama.Pencegah kepada perbuatan mungkar dan durjana.Namun kenapa muslim kita hari ini tidak langsung mengambilnya sebagai pendinding diri?Alasannya mudah saja."malaslah","kami muda lagi,nanti dah tua kami sembahyangla" dan bermacam-macam lagi alasan yang boleh dianggap alasan jahil dan jahat dari seorang yang bergelar muslim.
Segala alasan yang diberikan hanya ada satu sahaja jawapannya iaitu semuanya berbalik kepada pokok dan asas kepada semuanya iaitu soal hati. Hati ialah satu organ yang sangat besar peranannya.Bukan sahaja sebagai organ badan manusia yang penting tetapi lebih daripada itu ialah sebagai penggerak dan penjana unsur-unsur rohani dalam diri seseorang manusia itu. Hati yang baik ialah hati yang jujur,hati yang bersih,hati yang ikhlas,hati yang taat, hati yang suci,hati yang penyayang,hati yang pemurah,hati yang jernih,hati yang lapang dan bermacam-macam lagi. Manakala hati yang jahat pula ialah hati yang busuk,hati yang kotor,hati yang kejam,hati yang pendendam,hati yang rosak dan yang paling ditakuti ialah hati yang mati.
Apabila hati sudah mati maka tiada jawapan lain selain daripada ucapan selamat tinggal yang harus diberikan. Bukan selamat tinggal kepada dunia tetapi selamat tinggal kepada syurga. Sesetengah orang berasa hairan jika tiba-tiba telinganya sudah tidak dapat menerima laungan azan, mulutnya sudah tidak dapat menjawab seruan azan melainkan ada ulasan jahat disebalik laungan azan itu. Ini bermakna hatinya sudah mati. Itu adalah simptom yang paling mudah untuk kita kesan pada diri seseorang muslim itu. Nasib baik juga kalau dia berasa hairan dan terkejut. Itu tandanya masih ada harapan untuk dipulihkan tetapi jika langsung tidak ada perasaan, maka seperti tadi lah jawapannya iaitu selamat tinggal.Tanda yang kedua ialah apabila perkara-perkara baik yang sebelum ini pernah dilakukannya sudah tidak dikira baik lagi malah terus diilupakan begitu sahaja. Sebelum ini dia bersembahyang tetapi sekarang dia berasa sembahyang itu hanyalah undang-undang kecil sahaja yang tidak perlu didirikannya. Perilaku dan perbuatan jahat yang tidak bermoral sedikit demi sedikit dikatakan boleh dan halal sedangkan ia memang sudah terang terangan haram di sisi agama. Lebih tepat lagi jika disebut menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Tidak dinafikan desakan dan tekanan hidup ialah salah satu puncanya tetapi semuanya berbalik kepada persoalan hati tadi. Gejala yang semakin berleluasa sekarang iaitu gejala rasuah salah satu contoh yang terdekat. Rasuah itu bukan sahaja haram tetapi jika suatu hari nanti ia tidak dibendung maka ia bakal menjadi pemusnah keseluruhan struktur pentadbiran sesebuah negara itu.Jika perkara ini terjadi maka kita sendiri fikirlah kesan dan akibatnya.
Wahai hati-hati sekalian, ingatlah siapa diri kita,ingatlah ke mana kita akan dihimpunkan supaya di hari pembalasan kelak kita akan mengucapkan Selamat datang kepada Syurga.

No comments:

Post a Comment