Tuesday, August 31, 2010

9 Hari Terakhir Ramadhan

Assalamualaikum buat semua,

Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah dan rahmatnya kita masih berpeluang berpuasa di bulan Ramadhan dan insyallah kita dapat menghabiskan 30 hari puasa di bulan Ramadhan ini.

Tinggal lagi 9 hari untuk kita menyambut hari kemenangan kita berpuasa iaitu Hari Raya Aidilfitri tetapi saya ingin bertanya kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian, adakah kita rasa apa-apa perubahan dalam diri kita? atau tiada sebarang perubahan?

Jawapan itu hanya kita sendiri sahaja yang boleh menjawabnya kerana kita semua sudah sedia maklum bahawa salah satu tujuan kita berpuasa ialah untuk melatih diri untuk melakukan perkara-perkara yang diredhai Allah.Kalau sahabat-sahabat merasakan perubahan, maka latihan yang kita buat selama sebulan,insyallah sudah pun berjaya tetapi jika tiada sebarang perubahan maka kita perlulah muhasabah diri dan cuba dengan sedaya upaya menghidupkan sisa 9 hari lagi untuk turut berubah supaya latihan yang kita jalankan selama ini tidak sia-sia.

Semakin dekat menjelang Aidilfitri semakin sunyi kelibat makmum di rumah Allah.Fenomena sebegini sudah menjadi lumrah setiap tahun di mana sahaja dan barangkali ia sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita.Saya sendiri mengaku dan turut tergolong dalam golongan ini. Justeru, marilah bersama-sama kita mengisi saf-saf di rumah Allah supaya 9 hari terakhir ini akan menjadi suatu lembaran sejarah dalam hidup kita untuk berubah.

Semoga kita dapat meninggalkan Ramadhan 1431 M/ 2010 H dengan berjaya dan kita dapat berjumpa dengan Ramadhan 1432 M/ 2011 H pada tahun hadapan,insyallah.Amin...

Tuesday, August 10, 2010

Malam Pertama Tarawih

Alhamdulillah syukur dapat mengerjakan solat sunat tarawih pada malam pertama di bulan Ramadhan ini. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum fadhilat atau kelebihan solat sunat tarawih di malam pertama ialah akan diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

Jadi wahai sahabat muslimin dan muslimat sekalian marilah kita berlumba-lumba mencari keredaan Allah di bulan Ramadhan ini dengan mengerjakan solat tarawih setiap malam,insyallah.Tangguhlah sebentar rutin malam kita seperti melayari internet,facebook,myspace dan sebagainya sehingga selesai mengerjakan solat tarawih.

Good luck!

Sunday, August 8, 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan



Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi bulan Ramadhan kembali menjelma setelah setahun meninggalkan kita.Bulan yang penuh dengan keberkatan,kenikmatan,kesyukuran serta penuh dengan rahmat dan kasih dari Allah Yang Esa.Saya menyeru kepada diri saya dan seluruh umat Islam diseluruh dunia supaya kita membanyakkan ibadah dan amalan agar kita tergolong di dalam golongan hamba yang mendapat perhatian dari Allah di akhirat kelak.

Bagi mereka yang sudah cukup amalan wajibnya,alhamdulillah dan tahniah diucapkan..diharapkan dengan kedatangan Ramadhan ini ditambahkan lagi dengan amalan sunat pula.Bagi mereka yang belum cukup amalan wajibnya,saya menyeru lengkapkanlah apa yang belum dilengkapkan.kita ambil keberkatan bulan yang mulia ini sebagai pencetus kepada perubahan dalam hidup kita supaya apabila Ramadhan sudah pergi maka amalan wajib itu akan tetap kekal bersama kita selamanya.

Memulakan sesuatu yang jarang kita amalkan memang agak payah tetapi saya percaya dengan kehendak diri yang kuat dan pertolongan dari Allah yang Esa, tidak mustahil apa yang kita jarang buat dahulu akan menjadi suatu perkara yang akan kerap dan sentiasa kita lakukan.

Letih dan mengantuk ialah 2 tindak balas biologi badan kita yang biasa terjadi jika kita berpuasa tetapi cubalah dengan sedaya upaya untuk melawannya seterusnya mengatasinya agar kita dapat menjalankan ibadah puasa ini dengan ikhlas dan penuh amanah.

Ya Allah Ya Tuhanku, Aku bermohon kepada Mu Ya Allah, Kau jadikanlah Ramadhan kali ini ialah Ramadhan yang terbaik dalam hidup ku.Kau jadikanlah Ramdahan kali ini kepada semua permulaan amalan-amalan yang baik buat diriku.Kau jadikanlah Ramdhan kali ini sebagai taubat nasuha dariku dan Kau jadikanlah Ramdhan kali ini segala keberkatan kepada diriku,keluarga dan seluruh umat Islam didunia.Andaikata Ramadhan ini ialah Ramadhan yang terakhir buat diriku,kau jadikanlah ia sebagai penghapus kepada segala dosa-dosa ku.Kau perkenankanlah doaku ini Ya Allah..Amin Amin Ya Rabbalalamin.